Suami Darah ‘B’, Isteri Darah ‘A’, Tapi Dapat Anak Darah ‘O’, Adakah Pasangan Kita Curang? Baca Penjelasan Ini

Adakah pernah kita alami, di mana ibu darah jenis A, ayah pula darah jenis B, tiba-tiba anak dapat darah jenis O pula. ramai yang mengaitkan pasti salah seorang pasangan itu curang.

Ramai yang beranggapan demikiankan, ini kerana kita beranggapan tiada sebarang pertalian antara kumpulan darah A dan B dengan kumpulan darah O.

Bagi merungkai permasalahan ini, pihak Root of Science telah tampil membuat perjelasan, bagaimana perkara ini boleh terjadi, adakah betul salah salah seorang pasangan itu curang seperti disangka.

Jom kita baca.

Suatu petang di sebuah hospital bersalin swasta :

“TAHNIAH! Encik dan isteri mendapat seorang bayi perempuan yang sangat comel. Keputusan darah thyroid dan G6PD normal. Kumpulan darah bayi ialah O positif.”kata doktor pakar perbidanan kepada Encik N dan Puan H.

Kegembiraan menimang cahaya mata sulung serta-merta pudar pada wajah Encik N.

“Darah aku jenis B, darah isteri aku jenis A. Macam mana anak kami boleh darah O pulak?”

Seorang pakar biologi, Karl Landsteiner telah menemui Kumpulan darah ABO dalam tahun 1900.

Hasil penemuan ini telah melayakkan beliau menerima hadiah nobel pada tahun 1930.
Kumpulan darah ditentukan oleh faktor genetik melalui 3 jenis gen : A,B,O.

Setiap individu normal akan mempunyai dua salinan daripada setiap gen, satu daripada ibu, satu daripada bapa. Oleh itu, dalam menentukan jenis kumpulan darah, terdapat kebarangkalian untuk mempunyai 6 jenis kombinasi gen yang berbeza : AA, AB, AO, BB, BO dan OO.

(GEN : English=gene. Gen di sini dikaitkan dengan GENETIK. Bukan GENERASI.)

Antara ketiga-tiga gen A, B dan O, gen O adalah ‘recessive’ (tidak dominan). Ini bermaksud kombinasi gen AO akan menghasilkan kumpulan darah A, kombinasi BO akan menghasilkan kumpulan darah B. Darah jenis O hanya akan terhasil daripada kombinasi OO.

Setelah kita faham tentang gen yang dominan pada setiap individu (ayah ATAU ibu), sekarang kita cuba fahami pula tentang kombinasi ini daripada dua individu (ayah DAN ibu).

Katakan:

Darah ibu ialah jenis A dengan kombinasi AO.
Darah bapa ialah jenis B dengan kombinasi BO.
Kombinasi gen yang mungkin terhasil daripada ibu DAN ayah ialah: AO, AB, BO, OO.
(Gen dari ibu di sebelah kiri, gen dari ayah di sebelah kanan)

Dengan memahami bahawa gen A dan B lebih dominan daripada gen O, maka kombinasi yang berbeza akan menghasilkan kumpulan darah yang berbeza :

AO = Darah jenis A.
AB = Darah jenis AB (A dan B sama-sama dominan).
BO = Darah jenis B.
OO = Darah jenis O.
Ini bermaksud, anak-anak Encik N dan Puan H boleh mempunyai salah satu daripada jenis kumpulan darah di atas.

Situasi ke-2 dan ke-3 di bawah masih menunjukkan ibu mempunyai darah A dan bapa darah B.

Tetapi dengan kombinasi gen yang berbeza.

Situasi kedua :

Darah ibu : jenis A dengan kombinasi AA.
Darah bapa : jenis B dengan kombinasi BB.
Kombinasi gen yang mungkin terhasil daripada ibu DAN ayah ialah: AB, AB, AB, AB.
Maka, bayi akan mempunyai kumpulan darah AB sahaja.

Situasi ketiga:

Darah ibu : jenis A dengan kombinasi AA.
Darah bapa : jenis B dengan kombinasi BO.
Kombinasi gen yang mungkin terhasil daripada ibu DAN ayah ialah: AB, AB, AO, AO
Maka, bayi boleh mempunyai kumpulan darah AB atau A sahaja.

Ini adalah jenis kombinasi genetik yang mungkin terhasil. Seseorang itu masih mempunyai kebarangkalian utk mendapat anak berdarah O. Walaupun ibu bapanya mempunyai darah A dan B

Kesimpulannya :

Isteri Encik N tidak curang .
Bayi mereka mempunyai kombinasi gen OO.
Jangan pening ya … ABO, ABC, DEF, GHI…

Kredit: Root of Science

Be the first to comment on "Suami Darah ‘B’, Isteri Darah ‘A’, Tapi Dapat Anak Darah ‘O’, Adakah Pasangan Kita Curang? Baca Penjelasan Ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*