Kerajaan Memutuskan Untuk Mengetatkan Semula SOP Susulan Peningkatan Kes Covid-19 – Ismail Sabri

Kerajaan pada hari ini memutuskan untuk mengetatkan semula prosedur standard operasi (SOP) Covid-19 yang dilonggarkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ianya susulan peningkatan semula kes Covid-19 di dalam negara.

Setakat semalam, negara telah mencatatkan 21 kes baharu Covid-19 termasuk 16 kes penularan tempatan dan tiga kluster baharu turut dikenalpasti.

Laporan terperinci mengenai SOP yang akan diperketatkan akan menyusul.

Penjarakan 2 meter persegi dalam bangunan perniagaan

Setiap individu memerlukan kira-kira dua meter persegi sebagai ruang pergerakan untuk penjarakan sosial satu meter dalam premis perniagaan.

Naib Presiden Persatuan Perunding Arkitek Malaysia (PAM), Jafri Merican Din Merican, berkata ruang pergerakan dalaman sesuatu premis itu tidak termasuk ruang perniagaan yang diambil untuk barang jualan, pejabat, kaunter bayaran dan ruang lain bagi pergerakan.

Sebagai contoh, katanya, bagi premis perniagaan sebesar 2,000 meter persegi, ruang guna perniagaan barangan adalah 50 peratus iaitu 1,000 meter persegi.

“Berdasarkan perkiraan untuk ruang perniagaan berkenaan, ia mempunyai baki ruang 1,000 meter persegi untuk ruang pergerakan dalaman.

“Dengan keperluan dua meter persegi untuk setiap pelanggan, ruang pergerakan dalaman 1,000 meter persegi membolehkan seramai 500 orang pelanggan masuk pada satu masa,” katanya kepada BH mengulas mengenai saiz ruang yang sesuai untuk setiap orang dengan penjarakan satu meter diambil kira ketika berada dalam premis perniagaan atau pusat beli-belah.

Baru-baru ini, kerajaan memberi kelonggaran kepada pemilik premis perniagaan dan pusat beli-belah menentukan sama ada mengehadkan jumlah pengunjung berikutan kebimbangan ramai mengenai peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pusat beli-belah boleh membuat peraturan mengehadkan jumlah pengunjung yang masuk ke premis bagi menguatkuasakan penjarakan sosial seperti ditetapkan kerajaan.

Jafri Merican berkata, isu utama penjarakan sosial adalah memastikan ruang pergerakan dalaman sesuatu premis dapat disusun atur supaya tidak berlaku pertembungan laluan dua hala dan memerlukan usaha mengatur semula barangan di premis.

“Ruang pergerakan dalaman juga perlu lebar supaya tidak berlaku pertembungan atau bergesel antara pelanggan.

“Dengan adanya had ruang, barang jualan yang dapat dimuatkan mungkin berkurangan berbanding sebelum penjarakan sosial diperkenalkan,” katanya.

Berdasarkan pelbagai kajian saintis dan pakar kesihatan dunia, jarak paling efektif untuk penjarakan sosial adalah dua meter.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menetapkan penjarakan sosial satu meter dengan syarat ada penggunaan penutup muka dan mengehadkan masa interaksi.

Di Sepanyol dan Jerman, jarak sosial adalah 1.5 meter, Amerika Syarikat menetapkan 1.8 meter, manakala Korea Selatan 1.4 meter.

Sementara itu, pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hayati Kadir, berkata kehadiran orang ramai di premis wajar dihadkan semula kerana ramai pelanggan mula bersesak tanpa jarak sosial.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), katanya, kemasukan pelanggan dihadkan mengikut keluasan premis dan ia berjaya mengurangkan jangkitan tempatan.

“Pemakaian pelitup muka di tempat awam, terutama kawasan sesak atau tertutup perlu diteruskan seperti dalam kenderaan awam,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan perlu diteruskan pihak berkuasa supaya komuniti saling membuat teguran kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Pemerkasaan komuniti boleh terus dilaksanakan, gunakan ketua kampung dan ketua kawasan di lokasi masing-masing untuk memantau penduduk,” katanya.

Sumber bharian

Be the first to comment on "Kerajaan Memutuskan Untuk Mengetatkan Semula SOP Susulan Peningkatan Kes Covid-19 – Ismail Sabri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*