Bukan sekali tapi dua kali, Asri Janggut tohmah anggota PDRM, ATM isu solat

KUALA LUMPUR: Dua kenyataan dalam sesi yang berbeza berkaitan dakwaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak sembahyang, menyebabkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut berdepan siasatan polis.

Dua kenyataan terbabit dibuat pengasas Hot Burger Malaysia itu, ketika satu sesi wawancara disiarkan menerusi laman sosial Facebook Sinar Harian bertajuk Isu Judi: Fitnah atau Realiti, berdurasi satu jam 14 minit dan wawancara bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdurasi 50 minit 53 saat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata penelitian terhadap kedua-dua video berkenaan mendapati ada unsur-unsur kenyataan jelik serta penghinaan terhadap PDRM dan ATM.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan atas kesalahan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

“Selain itu Seksyen 505 (b) kanun yang sama kerana dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, di sini, hari ini.

Huzir berkata kesemua saksi-saksi yang dikenal pasti terbabit iaitu individu yang diwawancara; penganjur wacana atau wawancara serta terbabit dalam penghasilan kedua-dua video akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberikan keterangan.

“Kesemua tindakan yang dilaksanakan adalah berlandaskan undang-undang dan tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika jelas ia mencabuli undang-undang negara,” katanya.

Katanya, bagi menjamin keharmonian masyarakat, PDRM menggesa orang ramai supaya tidak membuat atau menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Sumber Hmetro

Be the first to comment on "Bukan sekali tapi dua kali, Asri Janggut tohmah anggota PDRM, ATM isu solat"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*