Mer0yan Di Twitter Siap Label Pes4kit K4nser 0t4k ‘Anj1ng’, D0ktor ‘Sek0lahkan’ MO Melamp4u! “Bukan Hanya Merawat Dengan Ubat Tapi Hati”

KECOH di media sosial mengenai seorang pegawai perubatan (MO) yang didakwa menghina pesakit sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.

Menerusi satu ciapan, pegawai yang dipercayai bertugas di selatan tanah air itu meluahkan rasa tidak puas hati gara-gara pesakit berkenaan dirujuk ke hospital pada awal pagi.

“Kanser otak dah 6-7 bulan. Tapi kenapa kena rujuk pukul 3-4 pagi juga lah xxxx? Tunggu esok tak boleh ke?

“Dah 6-7 bulan dengan kanser macam tu, bernafas je makhluk tu lagi. Tak boleh rujuk esok siang je ke xxxx anjing?” tulisnya di laman Twitter sehingga membangkitkan kemarahan netizen sebelum akaun Twitter milik pegawai perubatan itu dinyahaktifkan.

Kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh seorang pegawai perubatan.

Difahamkan, terdapat aduan berhubung tindakan pegawai perubatan yang biadab itu, dan siasatan sedang dijalankan.

Bukan sekadar masyarakat, turut terkesan dengan kata-kata makian pegawai perubatan itu adalah seorang doktor yang berpengalaman dalam dunia perubatan sejak sedekad lalu.

Dr Ahmad Samhan Awang berkata, di mata masyarakat, doktor adalah individu yang mempunyai keperibadian tinggi, dihormati dan disanjungi.

“Mereka ini banyak berkorban dari segi masa, harta dan keupayaan juga masa bersama keluarga dan masa rehat untuk diri.

“Harta yang dikorbankan demi segulung ijazah bukan sedikit dan kekuatan keupayaan menangani stres dalam bekerja. Semuanya perlu dikorbankan,” tulisnya di halaman Facebook.

Doktor berusia 34 itu bagaimanapun memberitahu bahasa menunjukkan bangsa dan ia juga mencerminkan keperibadian seseorang.

“Ini melampau! Ini mencemarkan keperibadian seorang doktor. Mungkin beliau dalam keadaan tertekan kerana terlalu banyak ‘referral’ yang diterima.

“Tapi ingat, jangan sesekali luahkan di media sosial. Walaupun akaun itu adalah akaun peribadi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

“Masyarakat menilai, memerhati. Masyarakat takkan faham apa yang awak sedang lalui. Sungguh!” kata beliau yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pas pekerja pegawai perubatan berkenaan yang tular di media sosial.

Dr Ahmad Samhan berkata, setiap doktor diberikan amanah untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik dan bukannya bersikap ‘melepaskan batuk di tangga’.

“Bukan semua orang layak jadi doktor. Bukanlah mereka yang semua A dalam SPM layak jadi doktor. Bukanlah mereka yang paling kuat ingatan layak jadi doktor.

“Bukanlah mereka yang ada harta banyak mampu untuk dapatkan ijazah perubatan. Bukan,” katanya yang mendapat pendidikan di Universiti Tanta di Mesir.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samhan yang kini menguruskan sebuah klinik di Kuala Terengganu berkongsi pengalamannya yang pernah ditegur oleh seorang pakar.

“Pernah sekali saya ditegur oleh pakar, Samhan, apa yang awak buat ini? Ini ke cara awak rawat pesakit? Bayangkan pesakit ini adalah ibu atau ayah awak, adakah awak nak dia dirawat begini?

“Tak nak. Maafkan saya bos. Jangan minta maaf dengan saya. Minta maaf pada pesakit dan bertaubat pada Allah. Generasi awak yang akan rawat saya bila saya sakit nanti. Saya tak mahu generasi awak rawat saya begini sebab itu saya perlu tegur,” ujar beliau yang mengimbas kembali insiden tersebut.

Dr Ahmad Samhan berkongsi pandangannya sebagai doktor. foto facebook Ahmad Samhan

Sehubungan itu, Dr Ahmad Samhan berkata, untuk menjadi doktor perlu mempunyai jiwa dan minat bagi menggalas tanggungjawab itu.

“Bukan hanya merawat dengan ubat tapi dengan hati. Jika kekayaan yang dicari, jadi doktor tak kaya. Jika kestabilan pekerjaan yang dicari, jadi doktor belum tentu terjamin. Jika kemahsyuran yang dikejar, jadi doktor tak jadi terkenal.

“Jika rasa tak kena dengan jiwa, jangan jadi doktor. Jangan paksa diri. Ia lebih memudaratkan pada diri dan pesakit. Bukan senang untuk ikhlas diri. Ikhlas itu mahal. Hanya kerana ikhlas kita mampu masuk syurga,” katanya.

Tambah beliau, setiap rawatan yang dilakukan doktor bukan sahaja membantu menghilangkan sakit dan kerisauan, malah menenangkan hati pesakit dan ahli keluarganya.

“Itu sangat bermakna buat mereka. Ingat, kita adalah perawat. Moga Allah berikan keberkatan dalam rezeki yang kita cari dengan ikhlas,” kata Dr Ahmad Samhan.

Sumber: mStar