‘Review’ Paling Jujur Mat Kilau: Lelaki Ni Beritahu Sebab Kenapa Hanya Layak Dapat 5.5/10

Seluruh negara (kecuali Kelantan) kini sedang kecoh dengan orang ramai yang lengkap bertanjak berpusu-pusu membanjiri pawagam kegemaran masing-masing bagi menonton tayangan filem Melayu yang dicanangkan sebagai paling epik dalam sejarah ketika ini – Mat Kilau.

Dibintangi oleh Dato Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari dan Yayan Ruhian, filem tersebut dikhabarkan telah berjaya mengutip lebih RM12 juta hanya dalam masa 4 hari!

Ramai yang memberikan Mat Kilau ‘5 Bintang’ serta memuji filem arahan Syamsul Yusof tersebut yang dikatakan berjaya mengangkat imej filem Melayu ke tahap yang lebih tinggi walaupun pernah dikritik teruk sebelum ini.

Namun di sebalik itu, masih ada juga segelintir yang kurang bersetuju dengan ulasan dan puji-pujian melampau ‘pengkritik’ filem Melayu tersebut yang dianggap sebagai agak keterlaluan.

Melalui satu hantaran di Facebook, Azhan Uthman beranggapan filem Mat Kilau tersebut sebagai ‘serba kacau’ dan hanya layak diberikan 5.5 poin dari 10 poin penuh sahaja.

Kenapa agaknya Azhan beranggapan sedemikian? Teruk sangat ke filem Mat Kilau ni? Ramai ke yang turut bersetuju dengan ulasannya ni?

Apa-apapun, tahniah buat Syamsul Yusof! Semoga kritikan ini dapat dijadikan sebagai panduan untuk menghasilkan lebih banyak filem epik di masa hadapan.

Jom baca ulasan jujur dan panjang lebar filem Mat Kilau dari Azhan Uthman berikut:

MAT KILAU YANG SERBA KACAU

Skrip Mat Kilau ditulis Shahruddin Dali, yang juga penerbit Studio Kembara dengan mendapat olahan pengarah Syamsul Yusof. Dalam satu sembang podcast aku dengar, awal lagi penulis beritahu, skrip Mat Kilau perlu sarat mesej.

Inilah masalah terbesar Mat Kilau bila awal-awal penulisnya dah fikir pasal mesej. Bagi aku kalau nak mesej, tengoklah Tanyalah Ustaz, bukan tengok filem.

Maka jadilah Mat Kilau yang sedang kita tengok sekarang. Pendapat aku pasal Mat Kilau:

Dah banyak kali aku geram dengan Syamsul pasal hal skrip ni yang sudah tentu banyak dipelajarinya daripada Universiti Skop Production sampai aku syak Yusof Haslam jadi tukang pruf untuk setiap skrip yang Syamsul buat.

Kalau ikutkan Mat Kilau ni dah masuk period awal abad ke-19, dah masuk era Bahasa Melayu yang moden tapi masih asli.

Timeline pun dalam 3-4 generasi ke belakang. Maksudnya bahasa atuk ke moyang kita je. Boleh jadikan bahasa Mahathir sebagai rujukan. Jadi tutur bahasa tu masih lagi dalam lontar yang biasa kita dengar. Tak perlulah sampai nak rancak berpantun sana sini macam abad ke-15 dan 16. Dah macam tengok bangsawan jadinya.

Sepatutnya ada satu dua loghat asas Pahang digunakan, macam aok, keh, koi, kome, pepoh, hogoh. Tapi masih bukan isu besar bagi aku sebab Xerxes dalam Hollywood pun boleh cakap Inggeris. Tapi kalau ada, boleh berikan lebih fiil.

Didaktik keterlaluan. Mungkin inilah mesej yang mahu disampaikan penulis skrip Mat Kilau dan kebetulan kena pula dengan isim Islamika dan Melayu gaya Syamsul yang menjadi-jadi sejak Munafik.

Maka masing-masing watak berebut nak bersembang pasal orang Melayu tak bersatu sampai ke Kapten Syers pun join sekaki huha huha pasal Melayu tak bersatu. Lepas tu masuk kisah dan cabaran Nabi. Melugai perut aku dengar.

Tapi dari segi konteks cerita, tak cerita pun tak bersatu sangat tu kat mana? Apa yang aku nampak, cuma konflik ketidaksetujuan orang kampung, dan pembesar pasal menentang British secara keras cara Mat Kilau. Takkan itu dah cakap tak bersatu?

Konflik kemudian memuncak sesama Mat Kilau dan Awang (Fattah) tentang strategi nak lawan British. Bagi aku cara Awang ada pintarnya. Dia beri janji orang Melayu tak kacau British dengan syarat British tak buat kacau.

Sebab bagi Awang, tindakan berdepan British secara ‘rambo’ hanya bagi banyak masalah kepada orang Melayu (krisis nyawa).
Jadi pelan Awang, dia buat macam tu supaya ada peluang curi senjata British yang jadi punca orang Melayu susah menang.

Sampai satu tahap aku nampak Mat Kilau pulak yang gopoh duk ingat orang lain pengkhianat dan tak nak bersatu sebab tak setuju cara ‘rambo’ dia. Huk aloh poh palawei.

Adi Putra ialah Jai KL Gengster dalam universe Mat Kilau. Pantun-pantun pendek, dengung dan idgham Jai sangat pekat bunyinya. Mujurlah tak ada rokok daun di hujung bibir (dan spek itam).

Beto yang patut jadi Mat Kilau. Lontar dan lenggok tutur Beto lebih dinamik dan emosional. Teknikal silat Beto lebih smooth.

Aku rasa Adi Putra dipilih sebab fizikalnya yang maskulin, termasuk kronisme Syamsul walaupun sosok Beto nampak lebih lean, cerdas, dan tangkas yang sesuai dengan karakter pesilat tulen. Adi lebih kepada MMA. Haha.

Tak nampak sisi heroik Mat Kilau, selain babak atas jeti baca nota. Ruang kreatif filem tak dieksploitasi Syamsul dengan baik untuk menampakkan kepintaran seorang Mat Kilau.

Kalau ada adegan Mat Kilau tengah brief taktikal gerila dengan team dia untuk cara nak lawan askar British yang bersenapang dan meriam, pasti aksi filem ni akan jadi lebih seru.

Sudahnya, kita cuma dapat tengok babak perang rambo yang klise, lawan bersemuka angkat senjata dan tulang empat kerat. Bila dah nak kalah, datang pula satu batalion orang kampung bekap. Padahal Mat Kilau yang aku kenal aksinya macam siluman. Tau tau perut bocor kena rodok.

Benda patut dipuji. Syamsul fiksyenkan British sebagai penjajah yang brutal. Walaupun faktanya British ni lembut, gentleman dan lebih kepada licik.

Tapi bila Syamsul jadikan British jahat serupa Jepun dan Siam, ini aku tabik. Idea-idea pelik di luar jangka macam ni yang aku mahukan. Aku rasa ini filem Melayu pertama yang gambarkan British sebagai puak barbarian yang lapar darah.

Babak bini Wahid yang hamil kena rodok sampai mati mengingatkan aku pada cerita-cerita Perang Musuh Bisik ketika askar Siam membelah perut perempuan Melayu dan keluarkan anak dari perut selepas berjudi meneka bayi laki atau perempuan.

Babak Mat Kilau memeluk dan menepuk belakang Wahid yang lihat bini dia dibunuh sangat mengesankan. Kesan drama dalam babak ini setanding Ustaz Adam ‘disalib’ atas palang dalam Munafik 2. Memang pehhh.

Prop ala kadar dan cincai. Berlawan macam nak rak, baju dan muka masih berkilat serupa memasing ada tiga set baju masa berlawan. Kemudian ada time break untuk tukar baju dan sambung lawan balik. Baju maintain tak koyak.

Tegang sepanjang masa. Sinematografi out. Pung pang pung pang tak ketahuan hala. Lepas tu ada babak berjalan masuk frem serupa gengster. Betullah orang cakap serupa KL Gengstser versi purba abad ke-19.

Tajuk sesuai: ‘Kisah Mat Kilat dan Rakan-Rakan Melawan British yang Dilupakan’.
5.5/10. Poin 0.5 ditambah atas kejayaan membrutalkan British.

Sumber: Facebook Azhan Uthman

Berbusana Melayu menonton Mat Kilau umpama fenomena filem Star Wars
Penampilan penonton ke pawagam dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan bertanjak mencetuskan fenomena tersendiri buat filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan.

Malah, ada juga yang membuat persembahan pencak silat sebelum menonton filem itu di pawagam Eastern Plaza Tawau, Sabah.

Pengarahnya, Syamsul Yusof berkata, ia satu fenomena untuk filem Melayu yang sebelum ini banyak dilihat apabila menonton filem Star Wars dan filem adiwira lain.

“Bagi saya satu fenomena. Sebelum ini kita tengok penonton pakai kostum Star Wars kalau pergi menonton filem itu. Jadi, ini satu kebangkitan bukan saja kepada pahlawan tapi juga panggung di Malaysia dan penonton itu. Kalau kita tengok mereka pakai busana lengkap dengan keris dan tanjak serta yang perempuan pun pakai baju klasik.

“Nampaklah penonton ke pawagam mereka membawa semangat bangsa itu sendiri. Alhamdulillah dan sebab itulah saya mengambil projek ini, menghasil dan mengarahkan filem ini dengan begitu teliti sekali. Ini kerana saya tahu tanggungjawab ini besar dan penonton Malaysia dan Melayu mengharapkan sesuatu dalam filem ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syamsul, kejayaan dicapai filem itu sudah semestinya datang daripada sokongan penonton.

“Alhamdulillah, majoriti iaitu 90 peratus rakyat Malaysia memberikan komen positif. Malah, perkara ini bukan saja fenomena tapi juga trending beberapa hari di Twitter dan TikTok. Bukan saja saya, penerbit dan pasukan bersyukur dan berbangga, tapi ini kejayaan pengkarya secara keseluruhan dan penonton Melayu.

“Nak menghasilkan sesuatu filem berjaya perlu ada sokongan daripada penonton dan kesungguhan daripada pengkarya. Jadi tercapailah matlamat nak menghasilkan filem tokoh yang baik,” katanya.

Penampilan penonton yang menyaksikan filem Mat Kilau yang dikongsikan di TikTok.

kredit: hmetro

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Jangan Lupa juga untuk follow kami di Fb DUNIA MEDIA!

PERHATIAN : KEPADA PEMBACA SEMUA JANGAN TINGGALKAN KOMEN HIN44N ATAUPUN CAC14N.

Pihak DUNIA MEDIA tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak DUNIA MEDIA juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Terima kasih.

Be the first to comment on "‘Review’ Paling Jujur Mat Kilau: Lelaki Ni Beritahu Sebab Kenapa Hanya Layak Dapat 5.5/10"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*