PDRM Guna Dron Pantau Pematuhan SOP Bazar Ramadan, Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dron untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata dron PDRM itu digunakan untuk memantau SOP dari udara kerana PDRM mengalami kesukaran memantau SOP di semua bazar.

“Seperti diketahui agak sukar memantau kehadiran pengunjung ke dalam sesebuah bazar yang pada malam kebiasaannya boleh mencecah antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung.

“Jumlah itu bagaimanapun boleh mencecah lebih lagi dan polis yang mengoperasikan dron ini akan memastikan pengunjung yang hadir ke bazar berkenaan mematuhi SOP,” katanya ketika melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, awal pagi tadi.

Acryl Sani berkata, penggunaan dron pada masa sama mampu memberikan gambaran jelas sama ada penjarakan fizikal di sesetengah bazar dipatuhi atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Superintendan Rasha Azaldin Shafii, berkata pihaknya menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, beberapa pasukan unit dron akan dibahagikan untuk memantau beberapa bazar dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

“Kebiasaannya, kami akan memulakan penugasan unit dron di bazar selama 30 minit untuk memantau SOP. Pasukan saya akan mula menerbangkan dron pada waktu petang.

“Kami memantau SOP di bazar berdasarkan arahan Ketua Polis Daerah sekiranya perlu dan bukanlah setiap masa pemantauan dilakukan,” katanya.

Rasha berkata, segala video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan.

“Dari pusat operasi dron ini, apabila dron diterbangkan ia boleh melihat segala pergerakan pengunjung di bazar dan jika nampak mereka tidak mematuhi SOP, dron polis akan menegur melalui pembesar suara dron,” katanya. – BERNAMA

Be the first to comment on "PDRM Guna Dron Pantau Pematuhan SOP Bazar Ramadan, Aidilfitri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*