9 kompaun dikeluarkan dalam masa dua jam

Georgetown: Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan dalam masa dua jam pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Bukit Jambul di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada jumlah itu, enam daripadanya dikeluarkan kerana tidak mengimbas MySejahtera.

Menurutnya, dua lagi ialah kesalahan merentas daerah dan satu tidak memakai pelitup muka.

“Sebanyak dua kompaun bernilai RM5,000 setiap satu dikeluarkan kerana kesalahan merentas daerah dan RM1,500 bagi lain-lain kesalahan.

“Ia membabitkan lima lelaki dan empat wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 50-an.

“Empat daripada enam yang tidak mengimbas MySejahtera itu adalah terdiri daripada warga asing,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Soffian berkata, pengunjung yang tidak mengimbas MySejahtera dikesan ketika pemantauan dilakukan di luar kawasan kompleks.

Katanya, pemilik premis sudah menyediakan kemudahan pengimbas, namun pengunjung didapati tidak melakukan imbasan.

“Pengunjung memberitahu peniaga bahawa mereka sudah melakukan imbasan namun apabila diperiksa, mereka didapati tidak melakukannya.

“Dalam keadaan ini, peniaga sudah mengambil langkah sewajarnya namun tindakan pengunjung itu sendiri yang tidak bertanggungjawab dengan ingkar SOP berkenaan,” katanya.

Sumber HM

Be the first to comment on "9 kompaun dikeluarkan dalam masa dua jam"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*